Pengerusi Badan Perhubu­n­g­an UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) sedar perkara itu bukan mudah kerana wujud ketidaktentuan dalam kalangan akar umbi memandang­kan parti itu tidak pernah tewas sepanjang 13 siri pilihan raya umum sebelumnya.

Namun begitu, beliau percaya ahli-ahli yang sayangkan UMNO, yang merupakan ‘orang UMNO’ tentunya akan faham prinsip perjuangan parti itu tetap tidak berubah untuk terus memartabatkan maruah bangsa, agama dan tanah air.

“Maka, marilah kita sama-sama bina semula parti ini, bina semula runtuhan yang telah melanda kita.

“Kita kutip batu-bata, sama-sama kita kutip dan kita susun semula supaya menjadi satu tembok yang baharu, yang lebih kuat, lebih kukuh dan dapat menahan apa juga yang mendatang,” katanya menerusi rakaman temu bual yang dimuat naik di laman Youtube UMNO Online semalam.

Sehubungan itu, Mohamad menyeru supaya mesyuarat cawangan parti yang bakal berlangsung dari 19 Mei hingga 10 Jun ini dijayakan supaya ahli-ahli akar umbi dapat terus bersatu dan memastikan UMNO kukuh serta kuat sepanjang masa.

“Lima tahun tidak lama, pejam celik kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15. Jadi saya harap semua orang UMNO, mari kita susun kembali ukhuwah sesama kita dan jangan sesekali berpecah,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak gundah-gulana dengan mereka yang bertindak meninggalkan UMNO kerana menganggap perkara itu biasa.

Beliau berkata, golongan itu dahulunya menyertai UMNO hanya kerana melihat peluang dan jawatan, maka apabila parti tidak lagi berkuasa, merekalah merupakan golongan yang pertama keluar.