Baginda bertitah, air merupakan sumber kehidupan yang amat penting dan tidak ternilai harganya namun semua perlu sentiasa beringat bahawa sumber alam semula jadi berkenaan adalah terhad.

“Walaupun air merupakan sumber alam semula jadi namun kita harus ingat bahawa seperti sumber lain, air adalah terhad,” titah baginda selepas berkenan berangkat bercemar duli merasmikan program ‘Water For Life’ di Kampung Baru Lubuk Machang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB), Datuk Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus dan Pengerusi Penasihat Bahagian Pendidikan Alam sekitar Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr. Ahmad Ismail

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Asmaiza Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),

Mohd. Nazim Mohd. Noor. dan Ketua Kampung Baru Lubuk Machang, Mohd. Shahbudin Khalid.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran PDB dengan kerjasama MNS itu merupakan kali pertama diadakan di negeri ini yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk kampung berkenaan dalam mendapatkan bekalan air bersih.

Melalui program tersebut, PDB menyediakan dua telaga dan empat tangki besar untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di sini yang selama ini hanya bergantung kepada sumber daripada tadahan air hujan dan kolam berdekatan.

Sementara itu, baginda mengucapkan terima kasih kepada PDB dan MNS yang bekerjasama dengan penduduk kampung dalam menjayakan program tersebut selain berbesar hati kerana Perlis dipilih sebagai lokasi bagi program ‘Water For Life’ pada kali ini.

Justeru baginda berharap, semua pihak perlu memastikan kebersihan telaga dan tangki air yang disediakan itu supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan bebas daripada sebarang bentuk pencemaran.

“Semua penduduk juga perlulah memastikan bahawa aktiviti harian bagi mereka yang tinggal di sekitar telaga yang disumbangkan itu tidak menjadi penyumbang kepada pencemaran sistem bekalan air.

“Sebagai contoh, aktiviti penternakan serta pembuangan sampah sarap mestilah di dalam keadaan yang terkawal supaya keracunan berkaitan kualiti air tidak terjadi,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE