Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, persatuan yang dikatakan mempunyai 93,000 orang ahli di seluruh negara itu berpandangan keputusan memendekkan tempoh lantikan tersebut sebagai tidak berhemah.

Sambil mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan itu, PAUPM turut menggesa keputusan tersebut ditarik balik dan sebarang lantikan Pengerusi Lembaga Pengarah baharu ditangguhkan buat sementara waktu.

"Pengerusi Lembaga Pengarah UPM adalah satu jawatan tinggi dan penting. Oleh itu, sebarang penamatan jawatan ini perlulah melalui proses yang lebih bermaruah.

"Pemakluman memendekkan tempoh lantikan kepada Syed Razlan yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan bertarikh 17 Julai lalu tidak mencerminkan teras falsafah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berlandaskan ketelusan dan 'rule of law'," menurut persatuan itu.

Antara alasan PAUPM membantah keras keputusan itu adalah kerana percaya tindakan Menteri Pendidikan itu berkemungkinan besar dibuat berdasarkan nasihat yang salah sekali gus menyebabkan satu tindakan tidak tepat.

Persatuan tersebut malah mendakwa keputusan memendekkan tempoh jawatan Syed Razlan yang sebelum ini diberi tanggungjawab menjalankan siasatan ke atas salah Iaku tiga orang pegawai tinggi UPM dipercayai kerana satu komplot  untuk melindungi pihak terlibat dalam salah laku pentadbiran di universiti awam berkenaan.

"Ahli Lembaga Pengarah baharu anak syarikat UPM juga telah mengesan tahap pentadbiran yang begitu menyedihkan serta berkemungkinan salah Iaku dalam tadbir urus anak syarikat tersebut. Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat telah memohon kepada Lembaga Pengarah UPM supaya sebuah firma audit bertauliah dilantik untuk menjalankan audit forensik bagi ke atas anak syarikat terbabit.

"Kami juga difahamkan bahawa dalam masa yang sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri, berdasarkan maklumat orang awam, telah membuat lawatan mengejut ke atas anak syarikat UPM tersebut. Beberapa dokumen dan maklumat penting berkaitan kes telah diambil dari pejabat anak syarikat itu, " dakwa persatuan itu.

Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam menjelaskan pertimbangan profesional demi kepentingan UPM merupakan sebab utama memendekkan kontrak perkhidmatan Syed Razlan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti tersebut diambil. - UTUSAN ONLINE