Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, pertambahan di laluan itu akan menyebabkan berlaku kesesakan, dan mengingatkan pengguna agar lebih berhati-hati dengan mematuhi peraturan bagi mengelak jumlah kemalangan daripada turut mencanak.

Beliau berkata, dengan kesesakan yang akan turut berlaku di jalan-jalan lain, pihaknya akan menempatkan sejumlah anggota di lokasi- lokasi yang telah dikenal pasti akan berdepan dengan masalah kelancaran aliran trafik.

"Kita menjangkakan beberapa hari menjelang dan ketika perayaan tidak lama lagi jumlah kenderaan meningkat kepada 40,000 buah pada setiap hari," katanya selepas majlis Pelancaran Keselamatan  Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri 2018 berdekatan Bazar Padang Negara di Jalan Sultan Mahmud, di sini petang ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan  Raya (MKJR) Terengganu, Roslee Daud.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azlimin Mat Noor; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Abdul Rahman Emang Anyie dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Left. Kol. Che Adam A. Rahman.

Aidi mengulas lanjut, seramai 203 anggota serta 34 pegawai polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri ini akan ditugaskan di sepanjang tempoh Op Selamat itu nanti.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti tiga lokasi `hot spot' iaitu di Kilometer (KM) 3 di Jalan Kamaruddin menghubungkan Jalan Kuala Terenganu - Kuantan selain KM 32 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Pulau Serai, Dungun dan KM 130 Jalan Jabor - Padang Kubu di Kemaman. - UTUSAN ONLINE