Berkata kepada Utusan Online, usahawan kosmetik tersebut mengakui dia berasa simpati terhadap nasib yang menimpa Intan meskipun sebelum ini wanita itu pernah menyatakan kesanggupannya untuk hidup bermadu dengan Izreen Azminda.

“Jujurnya, sebelum ini saya langsung tidak mengenali Intan. Selepas isu rumah tangganya tular di media sosial, barulah saya berkesempatan untuk mengetahui gerangan orangnya.

“Kemudian, isteri saya mencadangkan agar mengambilnya sebagai model tudung AlifBySha. Lagipun, Intan seorang yang cantik dan mempunyai komitmen tinggi demi mencari rezeki untuk menyara anak-anaknya,” ujar Aliff.

Suami kepada bekas ahli kumpulan nasyid Solehah, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid itu memberitahu, personaliti dan imej Intan yang bertudung sangat bersesuaian dengan tudung keluaran syarikatnya.

“Justeru, tidak timbul isu saya mengambil kesempatan ke atas masalah yang melanda dirinya. Niat saya sekadar ingin membantu Intan. Itu sahaja,” tegasnya menetapkan pendirian.

Aliff berkata demikian sewaktu ditemui baru-baru ini ketika majlis sidang akhbar memperdengarkan single terkini nyanyian Nur Sajat, Makhluk Penggoda yang turut menampilkannya sebagai penyanyi undangan. - UTUSAN ONLINE