Pengetuanya, Ruzaidi Abdul Rahman berkata, setiap peserta dikehendaki bangun seawal pukul 4 pagi bagi menyertai program solat Subuh berjemaah, tazkirah, pembersihan kawasan surau dan aktiviti mengecat tembok pagar rumah ibadat tersebut.

“Ini merupakan pengalaman sulung hampir semua peserta kerana rata-rata di antara mereka tidak pernah melakukan aktiviti sebegini. Kita mahu mereka membiasakan diri melakukan kerja-kerja amal dan berkomunikasi dengan masyarakat.

“Menerusi program ini, peserta dapat membina keyakinan diri, memantapkan fizikal dan mental serta melatih diri berkomunikasi dengan orang ramai,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Program tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti minggu ketujuh program 13 episod anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan Pertubuhan Daie Muda itu.

Rancangan yang menawarkan hadiah berjumlah RM100,000 itu bersiaran setiap Rabu pada pukul 9 malam di saluran TV AlHijrah dan dihoskan pengacara, Jimmy Shanley.

Sementara itu, peserta Akademi Silat Pendekar Muda, Muhammad Syahmi Shamshuddin, 23, berkata, seseorang pesilat bukan hanya perlu memiliki kemahiran ilmu seni persilatan malah harus menerapkan nilai keagamaan dalam diri mereka.

“Pesilat memerlukan agama bagi memperkukuh­kan ilmu persilatan. Penya­tuan kedua-dua elemen tersebut akan membantu menjadikan diri mereka lebih kuat dan dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya.

Muhammad Adib Jamaludin, 22, pula berkata, program kemasyarakatan tersebut wajar di­sertai semua kelompok masyarakat terutama peserta program ber­kenaan kerana dapat memupuk nilai murni serta mengeratkan hubungan antara pesilat dan masyarakat.

“Ia perlu diadakan selalu kerana selain daripada dapat mempelajari ilmu agama, peserta akademi ini dapat menerapkan sifat saling membantu antara umat Islam,” ujarnya.

Bagi Mohamad Hafeez Nasri, 25, penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan bukanlah satu perkara asing bagi dirinya kerana sebelum ini dia banyak mendapat pende­dahan mengenai program-program seperti itu melalui Rakan Muda.

“Peluang menyertai kuliah Su­buh dan menjalankan aktiviti amal membantu kami dalam membentuk akhlak dan peribadi yang lebih baik sebagai pesilat. Satu pendedahan yang berguna kepada semua peserta kerana tidak semua daripada kami pernah menyertai aktiviti sebegini,” katanya.