Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, langkah itu perlu dilakukan terutamanya di bahagian hulu sungai yang merupakan sumber air bagi aktiviti harian pengguna termasuk memasak dan air minuman.

Kata beliau, langkah itu bagi mengelakkan insiden pencemaran daripada berulang hingga membebankan orang ramai.

"SPAN telah membuat laporan polis pukul 10 pagi tadi terhadap dua insiden yang berlaku baru-baru ini.

"Kami berharap pihak polis boleh menyiasat elemen sabotaj dalam kedua-dua insiden pencemaran ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Air Selangor menutup tiga loji rawatan air utama, iaitu Loji Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang bagi mengelakkan air tercemar diproses dan diagihkan kepada pengguna.

Penutupan itu mengakibatkan hampir 5 juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terjejas bekalan air. - UTUSAN ONLINE