Kali terakhir dipinda adalah tiga tahun lalu dan sebelum itu, tahun 1975 dan selepas tragedi 13 Mei. Namun, polemik Akta Hasutan diperkatakan jauh lebih hangat berbanding undang-undang lain waima Kanun Keseksaan sekali pun yang mempunyai lebih 500 seksyen.

Sebabnya, mungkin kerana orang politik antara yang terdedah untuk diambil tindakan di bawah akta tersebut. Imuniti sebagai Ahli Parlimen ketika berbahas di Dewan Rakyat atau Dewan Negara juga tidak terpakai jika bercakap sesuatu yang melanggar Akta Hasutan.

Persoalan, apakah kerana peruntukan undang-undang pe­ninggalan British itu mempunyai ruang untuk disalah guna atau akibat kelantangan dan keceluparan ahli politik dalam mencapai cita-cita mereka?

Secara mudahnya, akta ini melindungi perkara-perkara sensitif termasuk peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan ini dinyatakan dalam Seksyen 3 (1) yang melibatkan enam perkara.

Antaranya berkait melindungi kedudukan raja-raja Melayu, mengelakkan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan kaum dan juga daripada mempersoalkan Bahagian III Perlembagaan termasuk bahasa kebangsaan dan hak istimewa Melayu dan bumiputera.

Maka, jika tidak disentuh hal tersebut, apa yang hendak digusarkan? Itu kata mereka yang menyokong akta tersebut tetapi bagi yang mahu ia dimansuhkan, mereka ada sebab tersendiri. Dakronian, tidak berperlembagaan dan menyekat hak kebebasan bersuara selain mudah dieksploitasi bagi mengunci mulut ahli politik antara yang sering kedengaran.

Pastinya, akta itu penting untuk sebuah negara berbilang kaum dan Singapura masih mengekalkannya. Hukuman di Singapura dan Malaysia juga sama iaitu tiga tahun penjara dan denda RM5,000 (bagi ke­salahan pertama) kecuali di Singapura, dendanya sudah tentu dalam dolar negara itu yang tiga kali ganda berbanding ringgit.

Mengambil contoh isu semasa, andai provokasi menghulurkan wiski kepada seorang Muslim di Malaysia seperti dilakukan Conor Mcgregor ke atas Khabib Nurmagomedov, tentunya harus disiasat di bawah Akta Hasutan kerana boleh mencetuskan persengke­taan seperti mana kes arak kepala lembu hampir sedekad lalu.

Asasnya, akta ini mencegah sebelum tercetus tindak balas ke atas provokasi yang tentu mengundang masalah lebih besar. Siapa pun jadi kerajaan, contohi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu ahli politik menerima apa sahaja kritikan malah gelaran.

‘Tidak perlu bertindak kepada pengkritik dan kerana bukan itu tujuan Akta Hasutan tetapi akta itu diperlukan bagi menjaga keharmonian andai asas negara disentuh tanpa sebab. Atau nak bagi puas hati, boleh saja tukar nama akta tersebut supaya berbunyi lebih demokratik.