Draf berkenaan kini sedang diperhalusi oleh pegawai undang-undang kementerian berkenaan sebelum dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia juga merangkumi kawalan penggunaan produk tembakau, termasuk rokok elektronik dan vape.

Menurut beliau, perkara itu nanti bakal memperkemaskan lagi peruntukan kuasa

kepada kementerian berkenaan meliputi bidang penguatkuasaan, penjualan, undang-undang dan hukuman.

“Perkara ini telah kita bincangkan dengan task force kementerian serta pihak-pihak berkaitan yang melihat perlu perkara membabitkan penggunaan vape, rokok elektronik dan sisha diberi perhatian.

“Kita perlu pada satu bentuk penguatkuasaan bersama terutamanya produk-produk ini yang boleh didapati dengan mudah termasuk golongan pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Combi, Hari Denggi ASEAN dan Anugerah IPT Bebas Denggi Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatakuasa Kesihatan negeri, A. Sivanesan dan Pengarahan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Mengulas lanjut kata Dzulkefly, sebelum ini, penjualan rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

“Ketika ini lesen penjualan rokok elektronik dan vape di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) manakala kandungan nikotin dalam rokok terbabit pula di bawah pihak kita.

“Justeru kita perlu satu undang-undang baharu yang lengkap agar perkara berkaitan kawalan dan pengutakuasaan dapat dilaksanakan dengan mudah,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung

penjualan gula-gula Smoke Ghost dalam kalangan pelajar sekolah, kata Dzulkefly,

perkara itu juga sedang diberi perhatian termasuk kesan kepada pengguna.

“Kita telahpun membuat ujian dan mengambil sampel gula-gula tersebut bagi mengenal pasti jenis kandungannya diikuti tindakan yang akan diambil,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE