Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, tabung tersebut yang ditubuh atas inisiatif UMNO Pekan difahamkan telah tidak berfungsi pada awal pagi ini.

“Orang ramai yang mahu menderma ke dalam tabung berkenaan tidak dapat berbuat demikian sehari selepas ia ditubuhkan.

“Begitu juga untuk mengeluarkannya ia tidak dibenarkan. Tabung akaun yang diuruskan saya pula tiada masalah dan ia berfungsi dengan baik,” katanya ketika dihubungi di sini, lewat malam ini.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Pekan, Zalmah Abdul Rahman berkata, beliau hanya mengetahui pembekuan akaun tersebut pagi ini.

“Perkara ini hanya terjadi atas akaun derma di Pekan, saya tidak tahu mengenai tempat lain tetapi akaun ini dibuka oleh UMNO Bahagian Pekan,” Zalmah dipetik sebagai berkata oleh Malay Mail.

Setakat pukul 5 petang semalam, dana itu telah mengumpul derma berjumlah RM223,908.

Terdahulu, kutipan derma tersebut bertujuan membantu Najib membayar sebahagian lagi wang ikat jamin berjumlah RM500,000 pada hari Isnin.

Najib telah membayar ansuran pertama RM500,000 pada hari Rabu lalu selepas meminta untuk dibicarakan mahkamah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Pendakwaan terhadap Najib berkaitan dengan kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. - UTUSAN ONLINE