Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, sebab utama bayaran gagal dikreditkan adalah nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat.

“Bagi BSH 2019, pembayaran bagi penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri.

“Perkara ini telah diumumkan kepada setiap penerima BSH melalui surat makluman dan turut dipaparkan di dalam portal BSH https://bsh.hasil.gov.my untuk makluman umum,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Jelas kenyataan sama lagi, namun demikian terdapat sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ia mengagalkan pengkreditan akaun kerana nombor akaun tersebut bukan di bawah nama isteri.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan penerima yang gagal dikreditkan menerima pembayaran berkenaan, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima berkenaan.

“Maklumat akaun bank baharu boleh diketahui melalui surat makluman yang akan dikeluarkan dan dengan melayari portal BSH.

“Pembayaran bagi golongan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun ini,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, terdapat juga penerima BSH terjejas dari kawasan pedalaman dengan akaun bank yang akan turut menerima pembayaran mulai pada 14 Jun.

“Manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Julai secara tunai.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800882747 serta emel kepada bsh@treasury.gov.my,” terang kenyataan itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan pembayaran fasa kedua BSH 2019 dengan peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM1.42 bilion dan dimanfaatkan kepada hampir 3.6 juta penerima.-UTUSAN ONLINE