Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, AirAsia menawarkan harga tetap RM199 sehala bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu bagi penerbangan bertarikh 14 dan 17 Jun untuk tempahan baharu dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

“Semalam kami mengumumkan penerbangan istimewa pada waktu lewat malam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi laluan terpilih di Semenanjung Malaysia dan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak.

“Kami gembira untuk mengumumkan AirAsia juga telah berjaya mendapatkan slot tambahan bagi penerbangan ke Kota Kinabalu. Kami amat berterima kasih kepada semua pihak terlibat terutama Malaysia Airports di atas sokongan yang diberikan untuk menjayakan penerbangan tambahan ke Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penumpang tiba di lapangan terbang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih.

Katanya, perkhidmatan tersebut boleh didapati dari tempoh 14 hari dan sehingga satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.

“Bagi penumpang yang mempunyai bagasi daftar masuk mereka dinasihatkan untuk tiba lebih awal untuk memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi sebelum ke pintu masuk.

“Kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi kedua-dua penerbangan antarabangsa dan domestik akan ditutup 60 minit sebelum waktu berlepas yang dijadualkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE