Meskipun pembayaran bantuan tersebut dijadual pada bulan ini namun mereka tetap resah sekiranya proses tersebut dilengahkan.

Penerima, Noor Irwan Kamis, 38, berkata, pembayaran tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban mereka dalam menyediakan kelengkapan menyambut Aidilfiti awal bulan depan.

Aidilfitri makin hampir, bila hendak buat pembayaran BSH fasa kedua
Aidilfitri makin hampir, bila hendak buat pembayaran BSH fasa kedua 

“Setahu saya pembayaran fasa kedua BSH pada bulan ini, tetapi sekarang sudah hampir masuk akhir bulan tetapi tidak ada sebarang khabar berita. Jika dahulu, pembayaran boleh dilakukan awal, saya harap kerajaan baharu ini juga boleh bertindak sama.

“Kita bukan apa, cuma ingin mengingatkan kerajaan mengenai pembayaran tersebut khususnya ketika hari raya semakin hampir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengikut jadual pembayaran BSH sebelum ini, proses berkenaan akan melalui tiga fasa iaitu pada Januari, Mei dan Ogos tahun ini.

BSH yang dahulu dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu merangkumi bayaran sebanyak RM1,000, RM750 dan RM500 mengikut pendapatan isi rumah yang ditetapkan dengan pembayaran pertama sebanyak RM300 telah disalurkan pada 28 Januari lalu.

Sementara itu, seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Chot berkata, dia juga menanti pembayaran tersebut dan berharap kerajaan dapat menyegerakan bantuan tersebut iaitu seboleh-bolehnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, selalunya pada Ramadan dan menjelang hari raya, warga emas sepertinya dan golongan ibu tunggal memperoleh bantuan namun kali ini tidak ada.

“Hanya BSH dinantikan setakat ini dan diharap pembayaran dapat disegerakan,” katanya yang hanya melakukan kerja-kerja kampung.- UTUSAN ONLINE