AHMAD SAMSURI
AHMAD SAMSURI 

Ahmad Samsuri berkata, setakat ini segala persiapan berjalan lancar bagaimanapun, maklumat lengkap mengenai waktu operasi hari pertama di samping beberapa perkara penting lain mengenai mercu tanda ikonik baharu Terengganu itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas ia dimuktamadkan dalam mesyuarat hari ini.

Katanya, kerajaan negeri masih lagi memperincikan kaedah terbaik bagi mengelak kesesakan dan sebarang huru-hara terutama semasa musim perayaan Aidilfitri pada 5 dan 6 Jun nanti.

“Semua teruja nak tengok drawbridge ini jadi, kita akan maklumkan balik apa yang boleh dan tidak boleh dibuat orang ramai misalnya, peringatan awal kita supaya jangan berhenti di atas jambatan dan sebagainya sebab kita masih lagi dalam proses percubaan untuk melihat kekurangan serta kelemahan.

“Di samping itu, ada beberapa aspek keselamatan yang akan diperbaiki dan dimaklumkan dalam sehari dua lagi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terakhir jambatan angkat di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh.

Jambatan angkat yang menyediakan laluan empat lorong itu akan dibuka untuk tempoh percubaan selama 16 hari iaitu dari 2 Jun hingga 17 Jun.

Kemudahan itu akan ditutup semula pada 17 Jun untuk tempoh tertentu sebelum dijangka dibuka sepenuhnya pada penghujung bulan.

Ahmad Samsuri berkata, pembukaan jambatan angkat itu diharap dapat menjana peluang dalam pelbagai perkara kepada rakyat negeri ini dan seterusnya kepada Malaysia. - UTUSAN ONLINE