Ahmad, 65, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan paling kanan, Datuk Mohtarudin Baki.

Majlis itu turut mendengar biodata dan latar belakang pendidikan dan perkhidmatan, Ketua Hakim Negara yang baharu, Tan Sri Richard Malanjum yang dibacakan di hadapan hadirin.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk David Wong Dak Wah, 64, turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Malanjum.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Datuk Hew Jen Kie.

Kedua-duanya menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, malam tadi.

Kenaikan Ahmad sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menyaksikan kekosongan jawatan Hakim Besar Malaya.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaharah Ibrahim telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong menggantikan Ahmad namun watikah pelantikan belum diserahkan kerana beliau kini bercuti.

Dengan pelantikan tersebut, peletakan jawatan Tun Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara ke-14 dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang sepatutnya pada 31 Julai ini, berkuat kuasa serta merta. - UTUSAN ONLINE