Noor Amin berkata, Lokman melalui laman Facebook semalam telah memfitnah beliau kononnya mengugut seorang jururawat yang dikenali sebagai Che Miera dalam isu Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, sebelum itu, beliau ada menghantar mesej kepada Che Miera dan memintanya tampil menjadi saksi dalam inkues Muhamad Adib selepas gadis itu mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial bahawa anggota bomba tersebut telah dipukul.

"Gadis itu telah membuat kenyataan bahawa Muhammad Adib telah dipukul sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam perbicaraan sebelum itu yang menyatakan kecederaan dialami Muhammad Adib tidak menunjukkan seperti arwah dipukul.

"Saya minta gadis itu memberi keterangan dan tidak menyembunyikan kebenaran jika kenyataannya itu benar," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kangar di sini hari ini.

Tambah Noor Amin, tuduhan Lokman itu boleh memberi ancaman kepadanya dan beliau telah meminta pihak polis menjalankan siasatan terhadap fitnah pemimpin UMNO itu.

Malah beliau juga tidak menolak kemungkinan mengemukakan saman terhadap Lokman yang disifatkan tidak bertanggungjawab.

"Jelas saya tidak menggertak atau mengugut gadis itu dan tuduhan Lokman itu boleh memberi implikasi besar dan menggangu proses siasatan kes berkenaan," katanya. - UTUSAN ONLINE