Komitmen berterusan KEDA juga secara tidak langsung mencorakkan pembangunan di kawasan yang dahulunya merupakan pekan-pekan kecil dan terpinggir untuk muncul menjadi pekan baharu yang pesat membangun seperti pekan Baling, Kupang, Sik, Jeniang, Kubur Panjang dan Naka.

Menurut Pengurus Besar KEDA, Datuk Mohd. Arpan Shari, bersesuaian dengan kedudukan negeri ini yang kaya dengan sumber alam, agensi tersebut secara berterusan melaksanakan pelbagai projek berasaskan pertanian yang sekali gus memanfaatkan penduduk kawasan pedalaman.

“KEDA merubah landskap kawasan pedalaman dengan projek komersial  dan kita cuba libatkan anggota masyarakat di kawasan berkenaan termasuk menyediakan peluang pekerjaan, malah turut libatkan mereka dalam bidang perniagaan.

“Hari ini semakin banyak penduduk di kawasan terbabit  sudah maju ke hadapan dengan melibatkan diri dalam bidang perniagaan dengan bimbingan KEDA,” katanya.

Tambah beliau, penduduk di kawasan KEDA ini berpeluang menceburi pelbagai bidang pembangunan ekonomi di kawasan masing-masing melalui projek peningkatan pendapatan petani daripada aktiviti pertanian, ternakan dan perikanan serta projek pemulihan sawah dan tanah terbiar di kawasan terpencil.

Hasil usaha agensi itu kini menyaksikan banyak pekan baru diwujudkan dan penubuhan pusat industri kecil dan sederhana (IKS) seperti di Napoh, Kubang Pasu, perkampungan Desa KEDA dan pembaikan serta pembinaan rumah-rumah. 

Cerita kejayaan KEDA meliputi pelbagai projek pembangunan termasuk program pembasmian kemiskinan, pembangunan industri kecil serta sederhana dan program keusahawanan, latihan kemahiran, pembangunan modal insan, pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial.  

Projek pembangunan ladang yang dahulunya sangat bergantung kepada hasil asas komuniti ditransformasikan kepada perkhid­matan yang menggabungkan ladang-ladang yang sedia wujud dengan menerapkan elemen agropelancongan dengan mewujudkan chalet, kolam renang, dewan serbaguna, dewan kuliah, auditorium, bilik mesyuarat, surau dan masjid.

Kini, projek agropelancongan KEDA dilihat berjaya mencapai matlamat dan sasarannya apabila semakin hari semakin berjaya menarik pengunjung, sekali gus menambah pendapatan bagi projek dan usahawan-usahawan di luar bandar.