Seri Paduka Baginda menyifatkan serangan itu sebagai satu tindakan yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada kesemua mangsa termasuk mereka yang kehilangan nyawa dan mengalami kecederaan.

“Baginda juga menyampaikan sokongan Malaysia dan menyatakan solidariti kepada mangsa-mangsa yang terlibat, ahli keluarga dan kepada penduduk Sri Lanka sendiri," titah Seri Paduka dalam kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga percaya bahawa kemanusiaan dan kekentalan masyarakat Sri Lanka diguna pakai dan terpelihara pada waktu tragedi yang mengerikan ini.

Semalam, satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi di Colombo iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St. Barnabas di Batticaloa di Colombo pada jam 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang. - UTUSAN ONLINE