Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata paling utama dalam pemikiran Seri Paduka ialah dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu yang melanda Ahad.

“Ingatan dan doa Seri Paduka sentiasa bersama keluarga mangsa, penduduk Lombok dan semua rakyat Indonesia dalam menghadapi situasi yang amat mendukacitakan ini,” kata beliau.

Beliau berkata Sultan Abdullah juga berharap semoga mereka yang cedera dan terkesan akibat bencana itu segera sembuh.

“Seri Paduka juga dengan perasaan yang tulus ikhlas menzahirkan sokongan bagi pihak negara ini kepada penduduk Lombok dalam menghadapi bencana itu,” kata Ahmad Fadil.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan keyakinan penuh bahawa rakyat Indonesia akan menampilkan ketabahan dan semangat yang tidak mudah luntur dalam usaha ke arah pemulihan Lombok.

Jenazah dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Lombok itu - Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah - dibawa pulang ke Malaysia hari ini dengan pesawat Garuda, Indonesia.

Sekumpulan 17 warga Malaysia, yang berada di Lombok ketika gempa bumi bermagnitud 5 skala Richter melanda, juga selamat tiba di tanah air hari ini menaiki penerbangan berasingan.-BERNAMA