Dalam masa sama, Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan hasutan berunsur kebencian yang disebarkan melalui pihak tidak bertanggungjawab termasuk menggunakan alasan kebencian terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

Jelas beliau, Seri Paduka bertitah tiada agama yang mendorong penganutnya untuk mengamalkan sebarang bentuk keganasan terhadap individu lain.

“Seri Paduka juga menasihatkan supaya rakyat Malaysia menghormati perasaan dan memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam mengharungi ujian ini,” katanya menerusi kenyataan Istana Negara di sini hari ini.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan terutamanya kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di atas perhatian yang telah diberikan dalam mengendali insiden berkenaan.

Katanya, Seri Paduka bertitah perkara tersebut termasuk menghantar pegawai kanan dari Kementerian Luar dan pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang berada di Christchurch bagi memberi sokongan dan bantuan serta kerajaan New Zealand atas kerjasama yang telah dihulurkan kepada mangsa termasuk dari segi mendapatkan rawatan yang diperlukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE