Titah baginda, apa yang membimbangkan kini kesucian agama ada kalanya dinodai oleh orang yang kurang memiliki hikmah dan mereka yang cuba menyelit nilai, prasangka dan agenda peribadi kerana mahu menjuarai dan mensensasikan sesuatu isu atas nama agama.

Titah baginda, perkara sedemikian menyebabkan realiti sejarah, kesahihan fakta dan pemikiran rasio­nal tenggelam dan hanyut dibawa arus emosi.

“Agama amat suci peranannya tetapi apabila digunakan selain da­ri­pada tujuan untuk menyemaikan roh ketuhanan, apatah lagi apabila dipilih untuk disensasikan secara politik, agama adalah bom jangka yang amat explosive, berpotensi mencetuskan porak-peranda dan malapetaka.

“Agama apabila difahami sepenuhnya, adalah instrumen penyatuan, instrumen keadilan, instrumen yang dapat melahirkan manusia yang baik, manusia yang memiliki roh dan kekuatan dalaman, manusia yang memiliki sifat kehambaan kepada Tuhan,” titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Dalam titah itu, Sultan Nazrin turut menyentuh fenomena politik tanah air apabila ada pihak yang mudah menjatuhkan hukum me­ngenai status akidah seseorang.

Dalam perkara ini, baginda bertitah, adalah tidak kena pada tempatnya dan amat bercanggah dengan seruan Ilahi jika manusia sendiri memilih untuk menjatuhkan hukum mengenai status akidah dan tahap keimanan insan lain.

Titah baginda, terkandung banyak kisah dan peristiwa yang memperlihatkan sifat ihsan Allah SAW yang memilih untuk mengangkat martabat seseorang hamba pada saat-saat akhir hayat seseorang insan.

“Status agama seseorang insan sama ada tergolong sebagai ahli syurga atau ahli neraka ditentukan oleh Ilahi,” titah baginda.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin turut menekankan mengenai peranan institusi raja Melayu, khususnya Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol hiasan tetapi diamanahkan dengan tanggungjawab pemerintahan yang adil dan memelihara kesucian agama.

Titah baginda, ini terkandung dalam sumpah jawatan semasa lafaz ikrar sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua utama negara.

Baginda bertitah, agama Islam adalah identiti yang tidak dapat dipisahkan dengan raja Melayu dan raja Melayu menjunjung satu tanggungjawab besar sebagai penjaga atau custodian terhadap agama Islam.

“Raja Melayu berada pada hie­rarki tertinggi dalam struktur pemerintahan negara dan bebas daripada afiliasi dengan mana-mana pertubuhan politik.

“Ini memberikan kelebihan kepada institusi raja berupaya berperanan secara berkecuali apabila menghadapi dan dalam menangani isu-isu berkaitan agama,” titah Sultan Nazrin.

Baginda seterusnya menitahkan supaya para ulama dan umara yang diamanahkan secara langsung me­nguruskan hal ehwal Islam supaya melaksanakan amanah secara berhikmah, bijak, adil dan menghormati perasaan dan insan lain.

Titah baginda, golongan itu perlu memahami realiti semasa dan rea­liti.

“Keadilan wajib dilaksanakan, maruah insan lain wajib dihormati, sementara raja bertanggungjawab memenuhi peranan sebagai penimbang tara secara adil lagi saksama dan bersedia memberi ruang untuk mendengar serta menghalusi,” titah baginda.