Melihat pada senario masya­rakat hari ini yang masih lagi tidak peka akan kepentingan menabung, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) utuh dengan pendiriannya mahu melihat anak-anak dididik dan diberi pendedahan awal mengenai kepentingan dan faedah menyimpan.

Apabila kerajaan memper­kenalkan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau ADAM50 menerusi Unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB), ia dilihat selari dengan peranan ASNB bagi menggalakkan sikap menabung dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak, sekali gus membantu meringankan bebanan kos pengajian mereka kelak.

Skim kali pertama diper­kenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 pada Oktober lalu itu merupakan ha­diah dana tabungan bagi anak Malaysia yang lahir antara 1 Januari 2018 dan 2022.

Selebriti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi menyifatkan ADAM50 sebagai satu insentif terbaik kerana anak-anak yang ber­usia sehari sudah memiliki tabu­ngan bernilai RM200, sekali gus melihat perkara itu sebagai rezeki dan anugerah.

“Insentif ini sangat bagus dan bukan pancingan. Melalui ADAM50 akan lahir satu perasaan dalam diri anak-anak itu adalah anugerah, bahawa anak-anak itu pembawa rezeki. Bayangkan pada hari pertama dilahirkan sudah memiliki RM200 sebagai simpanan masa depan dan dalam kehidupan anak itu yang semakin panjang, berapakah jumlah wang yang akan ada dalam simpanan si kecil itu kelak yang boleh digunakan untuk pengajian mereka.

“Ibu bapa yang berperanan sebagai pemegang amanah pula perlu menjalankan tanggungjawab tidak sewenang-wenang­nya me­ngeluarkan simpanan anak-anak itu, sebaliknya menambah jumlah wang simpanan mereka supaya berganda agar dapat digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi Ceria Bersama Pak Nil sempena Kem Perancangan Kewangan Ka­nak-Kanak, di sini baru-baru ini.

Objektif utama ADAM50 adalah untuk menggalakkan budaya simpanan dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak seawal usia baru lahir, dengan pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan. Unit insen­tif percuma itu akan dikreditkan ke akaun Ama­nah Saham Bumi­pu­tera (ASB) bagi bayi Bumiputera.

Ketika ditanya mengenai penganjuran Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak, Aznil berkata, program itu bertujuan melahirkan bakal generasi muda yang celik pelaburan.

Kem yang dianjurkan khusus untuk kanak-kanak berusia antara tujuh dan 12 tahun itu akan mendidik peserta mengenai nilai wang, kepentingan menabung dan juga melabur.

Kem itu te­lah dianjurkan sebanyak lima kali pada tahun ini iaitu di Kuala Lumpur, Shah Alam, Sibu, Seremban dan Sandakan dengan penyertaan lebih 1,000 orang.

“Saya melihat inisiatif yang bagus bagi ASNB menyemarakkan jenama mereka termasuk memberi pe­nerangan mengenai produk kepada bakal pelabur baharu dan pelabur sedia ada sementara peranan saya pula untuk menarik kanak-kanak ini agar berminat untuk menyimpan dan melabur melalui pendekatan berbeza serta sesuai dengan peringkat usia mereka.

Aznil turut menasihati ibu bapa agar berpada-pada melayani kehendak anak-anak agar tidak terbeban satu hari nanti.

“Ajarlah anak-anak untuk ber­sederhana agar mereka me­ngetahui nilai wang dan tidak boros dalam pembelanjaan. 
 “Adalah lebih baik menyimpan wang di dalam ASB berbanding membeli barangan kehendak ke­rana pulangan dividen yang lumayan menanti setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pendedahan awal tentang menambung amat penting untuk mempengaruhi sikap, pandangan dan pemahaman kanak-kanak mengenai wang dan nilainya.

“Matlamat kami ialah membantu anak-anak yang menyertai kem ini untuk memahami kelebihan mengurus wang dengan bijak dan seterusnya menjadikannya sebagai amalan menerusi sikap berjimat cermat dan menabung,” ujarnya.