Bagaimanapun kata ketuanya, Mohamad Fadzil Zolkipli, tindakan itu mestilah adil dan menyeluruh termasuk terhadap Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Melayu sebagai pendatang di negara ini

Malah katanya, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) juga perlu dikenakan tindakan kerana bersifat rasis dan perkara itu juga telah disahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Dr. Mahathir sendiri mengesahkan Dong Zong adalah pertubuhan rasis dan hanya perjuangkan hak satu kaum sahaja. Adakah Dong Zong juga akan diambil tindakan apabila bercakap mengenai kaumnya sahaja?.

"Perkara yang sama juga timbul dalam kes Kula Segaran yang menghentam Melayu, malah menyatakan Melayu adalah pendatang. Mereka ini juga perlu segara dikenakan tindakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hamid menegaskan, tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak-pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama; sebaliknya mereka yang terlibat termasuk pemimpin politik akan disiasat dan ditangkap serta-merta.

"Saya tidak teragak-agak untuk menangkap mereka (pihak bangkitkan isu perkauman) dan memang saya akan buat (lakukan tangkapan).

"Saya bagi arahan kepada anak-anak buah saya untuk siasat kes terkelas melibatkan keagamaan dan kaum. Jangan tunggu, terus siasat dan tangkap. Saya ulang tiada lagi amaran,” katanya.

Tambah Mohamad Fadzil, beliau berharap kesaksamaan dalam mengambil tindakan akan mengukuhkan perpaduan Malaysia yang dilihat kritikal sekarang.- UTUSAN ONLINE