Timbalan Pengerusi Jawatan­kuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol berkata, beliau bimbang sekiranya budaya yang selama ini menjadi identiti kepada sesuatu kaum terutamanya Melayu, akan dilupakan mengikut arus masa.

“Contohnya dalam pertan­dingan nyanyian dondang sa­yang yang diadakan pada hari ini, berkemungkinan para peserta telah mempunyi skrip ma­sing-masing, sedangkan mereka yang veteran bernyanyi secara spontan sahaja.

“Jika kita tidak menganjurkan banyak program sebegini, dikhuatiri suatu hari nanti kita akan kekurangan pelapis, malah tiada pengganti untuk para ve­teran yang kian berusia dan bakal meninggalkan pentas budaya ini,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas berucap dalam Pertandi­ngan Nyanyian Dondang Sayang Berpasangan peringkat negeri di Mini Malaysia dan Asean Cultu­ral Park Melaka, Ayer Keroh di sini.

Seramai 11 pasangan terlibat dalam pertandingan itu setelah berjaya mendapat tempat me­ngatasi 19 lagi pasangan lain pada peringkat saringan sebelum ini.

Sementara itu, Norpipah ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron memberitahu, semakin seni dan budaya dilupakan, semakin bertambah masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

“Ini (budaya dilupakan) secara tidak langsung mendedahkan mereka (masyarakat) kepada satu revolusi maklumat yang melangkaui sempadan sehingga mampu mengubah dan mencorak sistem sosial serta budaya sesebuah masyarakat.

“Kesilapan mengadaptasi budaya barat mengakibatkan pelbagai gejala sosial berlaku, antaranya pergaulan tanpa batasan, pengaruh dadah dan hubungan dengan bukan muhrim iaitu suatu fenomena yang amat membimbangkan,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berharap supaya penganjuran acara kebudayaan dapat memper­kenal, memberi pendedahan ser­ta menghidupkan semula seni warisan Melayu kepada generasi muda masa kini dan menghayati puisi dondang sayang.