Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), Che Akhma Ismail berkata, kira-kira 60 petugas melibatkan pengurus, jurutera, penyelia dan juruteknik terlibat dalam penghasilan komponen struktur sekunder A400M itu di sebuah kilang milik syarikat bumiputera di Batu Berendam, Melaka.

Beliau berkata, antara komponen yang dihasilkan adalah sebahagian ekor pesawat, pintu utama gear pendaratan, penutup enjin dan panel akses sayap.

“Selain itu, beberapa penutup atas sambungan struktur pesawat yang berfungsi melancarkan pengaliran arus udara turut direka bentuk di kilang berkenaan.

“Menariknya, setiap syarikat yang diberikan kontrak untuk menghasilkan komponen tersebut hanya akan mengeluarkan produk itu dan CTRM merupakan satu-satunya sumber komponen ini,” katanya ketika ditemui di tapak pameran DRB-HICOM di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Operasi CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Roslan Roskan dan Ketua Bahagian (Shop Management 4) CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Hamidi Mohd. Noor.

CTRM merupakan salah sebuah anak syarikat DRB-Hicom yang telah diberikan kontrak untuk menghasilkan sebahagian komponen A400M keluaran syarikat Airbus Defence and Space.

Mengulas lanjut, Che Akhma menjelaskan, komponen buatan anak tempatan itu seterusnya akan dipasang pada semua pesawat A400M yang kemudian akan dipasarkan.

Beliau menambah, kebanyakan juruteknik di kilang CTRM terdiri daripada bekas penuntut universiti dan politeknik tempatan.

“Mereka yang terpilih diberikan latihan selama tiga bulan di luar negara untuk mempelajari teknik pembuatan produk ber­kenaan mengikut speksifikasi yang ditetapkan.

“Kualiti, kepakaran dan hasil kerja kita amat tinggi, maka terbukti bahawa anak-anak tempatan kita mampu menghasilkan produk yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.