Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim pula dilantik sebagai Pegawai Kewangan manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin mengambil alih tempatnya.

Majlis serah tugas pengurusan tertinggi pentadbiran negeri itu berlangsung di tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini dan disaksikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang hadir sama, Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid dan barisan anggota Exco dan Wan Nawawi.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, pertukaran dalam kalangan pentadbiran tertinggi dapat mewujudkan persekitaran kerja baharu selaras dengan hasrat melancarkan segala urusan pentadbiran.

Beliau dalam masa sama turut mendoakan kesemua yang dilantik agar dapat menjalankan tugas dengan lebih cemerlang dan seterusnya membawa Terengganu ke persada dunia sebagai negeri maju, berkat dan sejahtera.

"Apa yang dilaksanakan di Terengganu ini boleh dijadikan contoh buat negeri lain, bermula dengan penyerahan tugas bekas menteri besar disambung dengan bekas setiausaha kerajaan yang kesemuanya berjalan lancar.

"Semoga percaturan yang dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi ini dapat memberikan impak positif yang cukup berkesan kepada pentadbiran.

Kita sangat memerlukan kerjasama dari semua peringkat untuk memastikan segala yang dirancang dan dilaksana untuk kesejahteraan rakyat dapat dicapai," katanya. - UTUSAN ONLINE