Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, ke arah usaha itu, teknologi satelit telah digunakan dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar dengan Very Small ­Aperture Terminal (VSAT) di kawasan terpencil seperti di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Bagi memperluas capaian internet berkelajuan tinggi, sebanyak 423 ibu sawat telah di naik taraf di seluruh negara di bawah projek Jalur Lebar Luar Bandar yang menyediakan perkhidmatan jalur le­bar tetap dengan kelajuan sehingga 20 mega bit sesaat.

“Melalui inisiatif peluasan liputan jalur lebar mudah alih pula, sebanyak 1,686 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi dengan liputan 3G dan 4G dan 4,061 menara sedia ada juga telah dinaik taraf dengan liputan yang sama di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha kementerian, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam.

Salleh berkata, kerajaan melalui kementeriannya amat prihatin de­ngan perkembangan dan pembangunan yang dilaksanakan khususnya untuk masyarakat luar bandar dan di kawasan pedalaman.

“Oleh itu, melalui program perluasan skop CTU, kita telah me­laksanakan aktiviti membaik pulih rumah-rumah daif di kawasan pedalaman. Sebanyak 189 projek CTU pembaikan rumah telah dikenal pasti.

“Bagi negeri Sabah, sebanyak 20 buah rumah telah dipilih untuk program baik pulih tersebut iaitu masing-masing lima di Tenom, Beluran, Sandakan dan Tawau. Ke­semua rumah tersebut telah pun siap di baik pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya akan meneruskan usaha itu bagi me­­mastikan kebajikan dan kese­jah­teraan hidup masyarakat di kawa­san pedalaman terus terpelihara.