Pengerusinya, Datuk Seri ­Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, perkara tersebut berlaku ber­ikutan peningkatan mendadak individu yang mendaftar untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Menurut beliau, pendaftaran semasa bagi mengerjakan haji tahun ini adalah seramai 402,656 orang manakala jumlah terkumpul pendaftar yang menanti giliran adalah seramai 2.33 juta orang.

“Saya yakin dan percaya lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Arab Saudi ketika ini akan menyentuh berkenaan Tabung Haji terutama berkaitan hal kuota dan cara untuk ditambah baik,” katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM4,136,827,39 Kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di sini hari ini.

Berkenan menerima zakat itu ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Pembayaran zakat perniagaan kepada Kelantan untuk 2015 mencatatkan peningkatan 2.29 peratus berbanding 2014.

Jumlah keseluruhan zakat perniagaan 2015 yang telah dibayar oleh Tabung Haji kepada negeri seluruh Malaysia adalah RM59.3 juta berbanding RM57 juta pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez enggan membuat sebarang spekulasi berkenaan peningkatan kadar visa umrah dan haji yang heboh diperkatakan sejak kebelakangan ini kerana Tabung Haji sehingga kini masih belum menerima maklum balas rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.