Menterinya, Dr. Maszlee Malik bagaimanapun berkata, sembilan intervensi yang merangkumi lima inisiatif itu hanya akan diumumkan ketika perutusan tahun baharu pada 14 Januari depan.

Katanya, intervensi itu akan dilaksanakan oleh pihak kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah.

“Kementerian menyedari tugas guru kian mencabar. Tugas guru adalah mendidik anak bangsa tetapi kini ditambah pula dengan tugas perkeranian yang bukannya semua relevan dan akibatnya membebankan guru untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran di kelas.

“Justeru, sembilan intervensi bertujuan mengurangkan beban tugas guru akan saya umumkan ketika perutusan tahun baharu pada 14 Januari nanti,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan Khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden NUTP, Kamarozaman Abdul Razak dan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock. 

Dalam sidang akhbar itu, NUTP juga telah menyerahkan memorandum termasuk dokumen cadangan mengenai tugas-tugas guru yang tidak relevan, seberat kira-kira tujuh kilogram kepada Maszlee.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan golongan guru pa­ling ramai dikesan mengalami gejala stres berbanding kerjaya lain di negara ini yang punca utamanya adalah beban kerja terlampau banyak.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, sembilan intervensi yang bakal dilaksanakan itu merupakan hasil perbincangan­ dan sesi libat urus antara Kementerian Pendidikan dan NUTP serta pemegang taruh berkaitan sejak Julai lalu.

Malah, kata beliau, sesi libat urus mengenai isu beban guru sahaja telah berjalan sebanyak enam kali iaitu pada 15, 22 dan 26 Oktober, 19 November, 15 dan 17 Disember lalu.

“Kita akan mengadakan le­bih banyak sesi libat urus serta persa­tuan-persatuan guru lain untuk mendengar suara daripada akar umbi, inilah pendekatan baharu kita iaitu bottom up dan bukan lagi top down dalam 
merangka segala dasar,” katanya.