KEDUDUKAN geografi antara Malaysia dengan negara jiran, Thailand yang tidak jauh menjadikan hubungan kedua-dua negara ini sentiasa kukuh dan saling membantu sekiranya keadaan memerlukan.
Sehubungan itu, tidak hairanlah jika Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn menyifatkan negara ini sebagai ‘rumah keduanya’ dan tidak kekok untuk membiasakan diri dalam sosiologi kehidupan di Kuala Lumpur.
“Antara sebab utama kenapa saya memilih Malaysia sebagai destinasi untuk berkhidmat adalah kerana ia dekat dengan Thailand dan menjadikan saya seolah-olah berada di tanah air sendiri.
“Budaya rakyat Malaysia dan Thailand juga tidak banyak beza termasuk daripada segi selera makanan, sosial dan agama,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia.
Narong turut mendedahkan pandangannya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia iaitu negara ini mempunyai banyak pokok serta lanskap yang menarik.
Jelasnya, beliau amat sukakan lanskap alam semula jadi dan sering merakam kecantikan alam menerusi lensa kamera.
“Hobi saya adalah merakam pelbagai gambar, selain saya juga gemar mengumpul pelbagai jenis model kamera untuk digunakan semasa saya bekerja dan melancong,” ujarnya.
Narong memberitahu bahawa Pulau Pinang dan Melaka merupakan antara negeri yang mempunyai lanskap tercantik di Malaysia, ditambah dengan keunikan budaya serta sejarah yang terpahat di kedua-dua negeri tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa beliau berasa kagum apabila melihat kepelbagaian kaum di Malaysia yang saling bekerjasama dalam kehidupan harian.
Katanya, Thailand juga mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan kaum namun tidak seperti di Malaysia yang dilihat penduduknya lebih bersatu dan saling bertolak ansur.
“Thailand juga mempunyai komuniti Cina, Melayu dan India, tetapi tidak seperti di Malaysia kerana kepelbagaian kaum di negara ini lebih terselah dan istimewa,” jelasnya.
Kata beliau, sistem demokrasi di Malaysia juga boleh dicontohi negara lain yang mengamalkan corak pentadbiran sama, selain melahirkan harapan bahawa perubahan kerajaan Malaysia hari ini berjalan lancar sepanjang tempoh yang ditetapkan.
Narong memberitahu bahawa beliau yakin dengan kuasa memilih rakyat negara ini.
Duta itu juga tidak terlepas memuji kredbiliti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sekali lagi diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui Malaysia.
Katanya, Dr. Mahathir bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan Malaysia, malah pemimpin berusia 93 tahun itu juga dianggap sebagai ikon pembangunan di rantau Asia.
Selain itu, hubungan dua hala antara Thailand dengan Malaysia juga dilihat semakin kukuh dan Kuala Lumpur merupakan antara rakan dagang utama Bangkok.
Jelas Narong, nilai perdagangan antara kedua-dua negara ini melebihi 75 peratus berbanding negara lain dan peratusan tersebut semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Antara produk yang diimport dan dieksport antara Thailand dan Malaysia termasuk komponen automotif, elektronik, bahan kimia, sumber tenaga, minyak dan gas, makanan serta getah.
Narong juga berharap agar sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di kedua-dua negara dapat diperkasakan dalam tempoh terdekat sebagai usaha mengukuhkan lagi pembangunan ekonomi masing-masing.
Jelasnya, pemerkasaan dalam sektor tersebut juga dapat membantu peniaga tempatan di kedua-dua negara mengembangkan perniagaan mereka.
Sementara itu, Narong memaklumkan jumlah pelancong Malaysia masuk ke Thailand juga semakin meningkat saban tahun dan itu menyaksikan penduduk negara ini tidak asing lagi di rantau Siam.
“Kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong dari Malaysia ke Thailand kerana bumi Siam menjanjikan pelbagai keistimewaan yang tidak akan dilupakan.
“Begitu juga dengan pelancong Thailand yang tidak lepas memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka dan saya berharap hubungan akrab antara Bangkok dengan Kuala Lumpur akan memberi lebih banyak faedah kepada masyarakat di kedua-dua negara,” ujarnya.