Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, terdapat menteri serta pemimpin politik dilihat gagal memahami Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum serta rakyatnya perlu menghormati dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, kurikulum pendidikan di sekolah vernakular yang menjurus kepada pemerkasaan Perlembagaan dari sudut menjunjung penggunaan bahasa kebangsaan jangan dipolitikkan dengan tekanan puak berkepentingan kaum dan menidakkan tujuan untuk bangsa Malaysia bersatu padu.

“Seperti dalam isu Jawi, tidak sepatutnya dipolitikkan kerana sudah terkandung dalam Perlembagaan menerusi Dasar Bahasa Kebangsaan. Keba­nyakan pemimpin politik ini tidak memahaminya, jadi mereka mesti ‘di­sekolahkan’ dan di­ajar semula supaya boleh membimbing pengikut mereka tentang apa itu Malaysia.

“Kena ada satu cara untuk mendidik mereka ini semua, mungkin perlu ada program ala Biro Tata Negara (BTN) tapi kali ini melibatkan semua kaum agar dapat memahami Perlembagaan Persekutuan dan bagaimana negara ini diwujudkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan itu dengan nada lebih tegas berkata, mana-mana menteri yang mempolitikkan isu membabitkan Perlembagaan Persekutuan sepatutnya mele­takkan jawatan.

“Mereka telah mengkhianati ikrar mereka sendiri serta sum­pah apabila memegang jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, ini merupakan satu pengkhianatan.

“Hari-hari dise­but tentang bangsa Malaysia tetapi kita sendiri tidak tahu bangsa Malaysia itu bagaimana, adakah bangsa Melayu, Cina, India ataupun pelbagai kaum? Sekarang ini adakah kita mahu tunggu Perlembagaan itu dibubarkan untuk kita membentuk semula negara Malaysia?,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu kembali kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui dan sekiranya polemik tidak memahami perlembagaan itu tidak dibendung, negara boleh menuju tahap membimbangkan dan lebih buruk boleh musnah.

“Adakah puak-puak ini tidak mahu menjunjung Perlembagaan Persekutuan kerana mahu memusnahkan budaya Malaysia itu sendiri? Kita sudah nampak hari ini, pergi hotel mana pergi bahasa Melayu, separuh hotel gagal, pusat beli-belah gagal mempamerkan dalam bahasa Melayu, itu yang sepatutnya dijunjung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.