Ketika menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia tersebut meninggalkan kesan kepada Menteri Belia dan Sukan itu.

Menerusi ciapan dalam akaun Twitter beliau sebentar tadi, Syed Saddiq menceritakan pengalamannya sewaktu menyaksikan perlawanan tersebut bersama penyokong Harimau Malaya di stadium itu.

“Kalau hanya ‘lempar-lempar air’, Kenapa terpaksa berhentikan perlawanan sampai situasi kembali tenang?

“Kenapa sampai perlu tembak ‘tear gas’? Kenapa kami kena kuarantin lebih dua jam. Kenapa ada penyokong depan mata saya Kena baling objek besi?! Saya menuntut keadilan,” katanya menerusi ciapan tersebut.

Syed Saddiq mengulas kenyataan Kabid Humas Polda Metro Jaya, Kombes Argo Yuwono yang membantah terdapat rusuhan berlaku selepas perlawanan bola sepak kedua-dua pasukan tersebut.

Memetik portal CNN-Indonesia, Argo berkata, tidak berlaku rusuhan seperti dilaporkan sebaliknya hanya kejadian melempar air ke penyokong Harimau Malaya.

“Tidak ada (rusuhan penyokong bola di Stadium Bung Karno), hanya lempar-lempar air saja,” katanya di Mapola Metro Jaya, semalam.

Argo juga menafikan terdapat penyokong Indonesia ditahan dan membantah ada anggotanya cedera dalam insiden itu.

Kelmarin, Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 perlawanan pembukaan Kumpulan G, pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagaimana pun, sebaik tamat perlawanan itu, penyokong Indonesia membaling botol air dan beberapa objek malah suar turut dilemparkan ke kawasan penyokong Harimau Malaya menyebabkan beberapa orang dipercayai mengalami kecederaan.

Insiden itu menyebabkan pengguna media sosial di Malaysia dan Indonesia membidas tindakan penyokong negara jiran itu kerana bertindak di luar batasan.

Bagaimana pun, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi dalam pertemuan dengan Syed Saddiq semalam menyampaikan permohonan maaf ekoran tercetusnya rusuhan penyokong pasukan negara itu. - UTUSAN ONLINE