Aziz, 50, yang juga popular dengan ungkapan ‘cermin diri’, sangat dikenali teman sekerja ketika bekerja di stesen penyiaran TV3 sebagai peramah dan gemar mengusik serta tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan bersama rakan sekerja mahupun ‘muka baharu’.

Pemergian Aziz akibat kom­plikasi buah pinggang dan diabetes di rumahnya di Langkawi, Kedah pada pukul 10.50 pagi ini nyata meninggalkan kesan kepada personaliti TV3, Maria Tunku Sabri yang cukup rapat dengannya.

“Keluarga saya dan keluarga arwah memang rapat. Malah, saya jugalah yang sering bawa dia ke mana sahaja jika melibatkan hal tugasan memandangkan dia tidak pandai memandu.

“Saya dah anggap dia seperti abang dan ayah saya sendiri. Dia murah dengan senyuman dan cepat mesra orangnya,” katanya dalam nada sugul.

Maria, 45, berkata, kenangan dan nasihat arwah akan sentiasa terpahat dalam memorinya.

“Saya sering merujuk kepada dia kalau ada masalah berkaitan bahasa dan sebagainya. Sebagai pendatang baharu dalam dunia penyiaran, dia banyak titipkan ilmu dan tak pernah rasa keberatan nak kongsi bersama.

“Masih ingat lagi waktu dia secara sukarela nak jadi pengacara dalam majlis perkahwinan saya, bertitik tolak dari situlah kami berdua sentiasa berkongsi masalah. Dialah orang yang banyak beri nasihat tentang hal rumah tangga,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar kepada bidang penyiaran dan kesusasteraan Melayu.

Dalam pada itu, Nurfarahin Jamsari, 52, berkata, biarpun jarang sekali digandingkan bersama dalam mana-mana program, usik-mengusik arwah menjadikan hubungan mereka mudah mesra.

“Apa yang saya lihat, Aziz me­rupakan seorang wartawan yang sentiasa meletakkan dirinya di tempat orang lain. Beliau sendiri akan rasa keperitan masyarakat jika mendengar pelbagai aduan sewaktu menyelesaikan tugasan.

“Beliau memang rakan sejawat saya tapi tidaklah begitu rapat di­sebabkan kami berlainan unit. Tapi sesekali kalau bersua, Aziz pasti mengusik saya dengan kata-kata ‘hai nampak muda dan cantiklah hari ini’.

“Kalau melihat program kendaliannya seperti Jejak Kasih memang akan terkesima sebentar mendengar pertuturannya yang pandai bermain kata,” ujarnya.

Sementara itu, penyampai yang digandingkan bersama Aziz dalam program MHI, Nizal Mohammad mengakui tergamam sewaktu menerima perkhabaran rakan baiknya itu telah meninggal dunia.

Nizal dan Aziz antara pasangan gandingan yang sering ditunggu-tunggu ketika mengendalikan MHI yang mula diterbitkan pada tahun 1994.

Beliau juga tidak menyangka pertemuan beberapa minggu lalu adalah yang terakhir kerana arwah nampak sihat dan masih kuat untuk menyempurnakan urusan kerja.

“Banyak peristiwa yang tak mungkin saya lupakan saat me­ng­­­­a­cara bersama arwah. Beliaulah o­rang yang menyedarkan saya akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu.

“Dari situ, saya mula belajar memantapkan lenggok bahasa Melayu dan perbendaharaan kata dengan lebih kemas. Tak dinafikan juga, waktu kami sama-sama di TV3 dulu, gurau-senda itu dah jadi perkara lazim,” katanya.

Aziz merupakan pengacara pertama yang menghidupkan program bual bicara pagi Nasi Lemak Kopi O di TV9 selain bergelar penyampai radio di kampung halamannya sendiri iaitu Langkawi FM.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid selama lima tahun.

Jawatan terakhir Aziz ialah Pengarah Media dan Komunikasi Korporat Buraq Oil iaitu pengendali stesen minyak luar bandar yang terkenal dengan program Ziarah Ramadhan di TV3.

Aziz meninggalkan seorang balu, Raden Norazlina Raden Jumari, 50, dan enam orang anak.