Sultan Pahang Keenam itu bertitah, dalam menjalankan tugas sebagai ketua negara kelak, baginda akan kembali ke negeri ini apabila berkesempatan.

“Walaupun selepas ini saya akan berada jauh dari mata, namun negeri Pahang akan tetap dekat di hati saya.

“Insya-Allah, saya akan kembali jika berkesempatan bagi membolehkan ikatan keakraban dan kasih saya kepada rakyat jelata terus terjalin,” titah baginda dalam Istiadat Pelantikan dan Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang serta Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara Khamis lalu memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa Khamis ini.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kesetiaan dan mendoakan kese­jahteraannya selama ini sehingga baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Titah baginda, berkat ketentuan daripada Allah SWT dan perkenan raja-raja Melayu, ba­ginda akan berangkat meninggalkan negeri ini untuk menggalas tugas sebagai ketua negara yang baharu berkuat kuasa Khamis ini.

“Terasa begitu pantas masa berlalu sehinggakan saya tiada berkesempatan menziarahi setiap pelosok negeri untuk bersama rakyat yang tidak putus merakamkan ucapan tahniah dan mendoakan saya.

“Izinkan saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan seluruh rakyat jelata atas kesetiaan serta doa kepada saya selama ini,” titah baginda.