Anwar turut memberitahu beliau tidak langsung mengambil hati dengan ‘teguran’ yang dilakukan Ahli Parlimen Gombak itu.

Anwar secara berseloroh turut mengatakan beliau telah pun melihat ke dalam cermin, pagi ini, namun pada masa yang sama merasakan sedikit terkilan kerana Mohamed Azmin tidak membaca keseluruhan konteks yang dimaksudkannya.

“Saya faham beliau sedang melalui saat sukar dan saya mungkin tidak akan memberi respon terhadap ‘kemarahan’ spontan memandangkan Mohamed Azmin tidak membaca kenyataan penuh.

“Saya tentunya tidak mengatakan beliau patut meletakkan jawatan. Itu bukan salah lapor, mungkin tajuknya sahaja yang sensasi. Saya katakan terpulang kepada siasatan polis,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Azmin di lobi Parlimen, semalam mengeluarkan kenyataan pedas terhadap Anwar supaya Ahli Parlimen Port Dickson itu melihat dirinya ke dalam cermin dan bermuhasabah diri.

Kenyataan Mohamed Azmin itu dikeluarkan susulan cadangan Anwar bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu perlu meletakkan jawatan sekiranya video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip dirinya disahkan benar.

Walau bagaimanapun, menurut Anwar, cadangan itu bergantung kepada penyiasatan yang dilakukan pihak polis kerana sekiranya tidak bersalah, Mohamed Azmin boleh meneruskan tanggungjawab seperti sediakala. – UTUSAN ONLINE