“Pakcik dah lama menabung, dengan duit menoreh getah pakcik dan makcik dapat kumpul duit dan seterusnya dapat datang ke Mekah tahun ini,” kata Che Lat yang juga dipanggil Tok Wan oleh rakan-rakan sebilik.

Dia berkata, duit yang diperoleh hasil menoreh getah akan disimpan dengan cara ‘bermain kutu’ iaitu kaedah mengumpul wang bersama rakan-rakan sekampung.

“Harga getah dulu bagus, boleh sampai RM4 lebih sekilogram tetapi sekarang tinggal RM2 lebih saja,” katanya ketika ditemui di biliknya di Hotel Bakkah Al-Salah, salah satu penginapan Tabung Haji di sini.

Bagi Tok Wan, perasaannya sudah tentu seronok dan sangat bersyukur dapat menjejakkan kaki ke tanah suci dan telah beberapa kali dapat beribadat di Masjidilharam.

Rakan sebiliknya yang juga dari Kuala Nerang, Kedah, Abdul Manah Ismail, 69, dia juga berusaha mengumpul wang hasil daripada kerja kampung, termasuk menoreh getah.

Katanya, dia amat bersyukur kerana diberi peluang oleh Tabung Haji untuk menjadi tetamu Allah dan ingin berpesan kepada anak-anak di kampung agar tidak perlu risaukan keadaan mereka.

“Kami semua dalam keadaan baik dan Tabung Haji juga jaga baik dari segi makanan dan penjagaan kesihatan,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE