Seramai 135 ahli berbayar kelab golf itu menghadiri mesyuarat tersebut dan menolak keputusan jawatankuasa pengurusan tidak menjual minum berkenaan yang dibuat dalam mesyuarat pada 20 Ogos tahun lalu.

Mesyuarat malam ini dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik yang juga Naib Presiden kelab golf milik kerajaan negeri itu.

Aminuddin yang merupakan Presiden bagaimanapun tidak menghadiri EGM itu.

Seorang ahli kelab, V. Manimaran memberitahu, mesyuarat berlangsung kira-kira 30 minit dan sebahagian besar ahli membuat keputusan supaya minuman keras dijual.

"Wakil ahli telah memaklumkan keputusan itu kepada Naib Presiden dan menjelaskan larangan itu bertentangan dengan perlembagaan kelab yang mempunyai 1,500 ahli," katanya di sini malam ini.

Aminuddin pada 21 Mac lalu menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Presiden SIGC sekiranya EGM malam ini memutuskan untuk menjual arak di kelab tersebut.

Beliau sebelum ini mencadangkan larangan penjualan minuman berkenaan dan ia telah dipersetujui jawatankuasa pengurusan kelab itu.

Aminuddin berkata, larangan itu bagi menjaga sensitiviti penduduk beragama Islam kerana kelab itu terletak berhampiran masjid dan perumahan yang didiami sebahagian besarnya orang Melayu.

Selain itu, jelasnya, ia tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai Exco agama negeri . - UTUSAN ONLINE