Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, polis juga diminta mengambil tindakan adil dan tegas terhadap mereka yang bersalah.

“Saya menzahirkan salam takziah kepada isteri serta keluarga mangsa dan berharap mereka menerima dugaan Allah ini dengan reda dan tabah.

“Saya berharap pihak berkuasa khususnya PDRM akan melakukan siasatan teperinci terhadap kes berkenaan dan mengambil tindakan adil dan tegas terhadap mereka yang bersalah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, perselisihan faham antara dua lelaki selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran susur Bandar Baru Bangi, dekat sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut.

Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun itu terlibat dalam kemalangan dengan suspek berusia awal 40-an yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sekitar pukul 1.40 petang sebelum berlakunya perselisihan faham sehingga membawa kepada pergelutan.

Noraini menambah, tidak ada sesiapa atau mana-mana pihak yang boleh mengatasi undang-undang negara.

Katanya, selain meletakkan standard atau batasan kepada tindak-tanduk manusia, undang-undang yang dilaksana juga bertujuan mengekalkan dan mewujudkan ketenteraman dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

Tambahnya, pada masa sama, masyarakat juga dinasihatkan menghentikan apa juga spekulasi berhubung kejadian itu, apa lagi isu yang boleh menyentuh sensitiviti keluarga mangsa.

“Serahkan sepenuhnya kes ini kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sepenuhnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE