Ismail Bakar

“Kami tidak sabotaj kerajaan,’’ katanya dalam Twitter dan turut memaparkan laporan berita Malay Mail itu hari ini.

Dalam respons kepada laporan Malay Mail, Ismail berkata, SPA sebaliknya memperbetulkan pelanggaran prosedur pengambilan oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dan mematuhi prosedur ditetapkan oleh kerajaan baharu untuk membersihkan proses lantikan politik.

Beliau turut menyangkal dakwaan yang menyatakan kerajaan mengikuti panduan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2012 berhubung perkara berkaitan jawatan dan perkhidmatan di pejabat menteri dan timbalan menteri.

Media tempatan melaporkan, SPA dan JPA dilaporkan tidak mengikut arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mensabatoj pegawai yang baharu dilantik oleh kerajaan baharu dengan memberikan mereka gred dan gaji lebih rendah.

Pada 3 Ogos, dilaporkan sejumlah besar lantikan politik, termasuk setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai tugas-tugas khas dan pegawai khas, masih belum menerima gaji mereka bagi tempoh lebih dua bulan.–BERNAMA