Jika dahulu keluarganya boleh bergantung harap daripada­nya, kini tidak lagi lantaran masalah kesihatan yang dialaminya.

Rusli yang tinggal di Kampung Guar Medang Gatal, Jalan Kilang Gula, Chuping di sini bukanlah malas tetapi tidak mampu bekerja sebaik sahaja menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian kaki.

Sejak itu, kehidupannya berubah, malah kini terpaksa hanya bergantung pendapatan daripada isterinya, Azurina Ahmad, 44, yang berniaga burger pada waktu malam.

“Selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada November lalu, saya bergantung kepada tongkat untuk bergerak. Isteri terpaksa mengambil tanggungjawab men­cari rezeki dengan berniaga burger dan memperolehi pendapatan RM20 semalam. Dengan duit itulah, kami beli beras dan telur untuk mengalas perut setiap hari.

“Setiap hari saya hanya makan pada waktu malam supaya anak-anak lepas (makan) dahulu. Itulah hidangan kami setiap hari iaitu nasi putih, telur goreng dan kicap. Kadang-kala apabila mempunyai sedikit wang, kami beli ikan.

“Kos untuk membeli ubat saya, terpaksalah diketepikan terlebih dahulu,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, saat paling menyedihkan adalah apabila tidak dapat menyediakan kelengkapan sekolah tiga anaknya yang memasuki darjah satu, tiga dan tingkatan satu baru-baru ini.

“Nasib baik pada masa itu, kawan-kawan ada bantu memberikan sedikit wang. Baju sekolah lama dua lagi anak kami yang tamat sekolah, diubah suai untuk dipakai oleh adik-adik yang masih bersekolah,” katanya yang mempunyai lima orang anak berusia antara tujuh hingga 20 tahun.

Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 09120-41-00005509-4 atas nama Rusli atau menghubunginya di talian 011-37734001.