Gambar bayi itu, Muhammad Rayyan Daniyal dikongsi mangsa, Mohd. Fazly Reza Mohamed, 30, dalam aplikasi kumpulan Whats­App keluarganya kelmarin de­ngan kapsyen bertulis ‘hadiah untuk atuk dan opah’.

Dalam nahas itu, Mohd. Fazly yang memandu kereta jenis Toyota Vios dan Muhamad Izhuan Kahar, 24, yang duduk di kerusi penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian selepas pulang menyertai pertandingan badminton kira-kira pukul 9 malam.

Turut berada dalam kereta itu Muhamad Basri Hamdan, 24, dan Nor Hasyim Abu Bakar, 34, yang cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Bapa Mohd. Fazly, Mohamed Ahmed, 67, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu kali terakhir pulang ke Kluang dua minggu lalu ketika isterinya masih berpantang di sana.

“Selepas itu kami banyak berkomunikasi melalui WhatsApp dan dia ada beritahu agak sibuk kebelakangan ini termasuk perlu menyertai pertandingan badminton yang berlangsung semalam.

“Anak saya tinggal di Bukit Gambir bersama isteri dan dua anak mereka. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan,” katanya ketika ditemui di HSNI hari ini.

Jenazah Muhamad Izhuan yang berasal dari Kampung Parit Setongkat, Muar pula dikebumikan di Ta­nah Perkuburan Islam Bakri Batu 6.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden KS Mender Singh berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika empat sahabat ber­kenaan dalam perjalanan dari arah bandar menghala ke Muar.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di bahu kiri jalan.

Akibat kemalangan itu, mayat Mohd. Fazly tersepit di tempat duduknya dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba manakala tiga lagi mangsa dikeluarkan lebih awal oleh orang awam.