Kedai tersebut yang diuruskan selama tiga generasi telah dua kali menerima notis amaran daripada Pejabat Tanah dan Daerah Timur Laut kerana didapati menceroboh tanah milik kerajaan.

Selepas menerima notis amaran itu, pemilik Salim Store, Ramlee Salim, 58, melakukan pelbagai usaha termasuk menghantar surat rayuan kepada pi­hak berkuasa tempatan untuk memohon bantuan mereka agar lokasi kedai itu dikekalkan di tapak asal, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

Ramlee berkata, sejak mene­rima notis amaran perobohan kedai runcitnya itu pada 12 Di­sem­ber 2018 dan yang terbaharu pada 15 Februari lalu, kehidupan mereka sekeluarga tidak lagi ceria seperti dahulu.

Bapa kepada dua orang anak berusia 22 dan 16 tahun itu berkata, kedai runcit warisan datuknya itu merupakan punca pendapatan mereka sekelurga sejak dahulu.

“Ada tawaran lokasi lain untuk saya berniaga tapi tempat tersebut tidak strategik tambahan pula pelanggan semua tahu kami berniaga di sini.

“Saya mohon agar lokasi perniagaan kedai ini dikekalkan atau dipindah di sebuah tapak kosong berhampiran bahagian belakang kedai ini seperti yang dijanjikan menerusi tawaran lisan oleh pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ramlee, dia tidak per­nah menghalang pembesaran jalan di kawasan itu, namun pihak berkuasa perlu berlaku adil kepada dirinya.

“Saya turut membayar cukai pintu untuk kedai runcit ini setiap tahun, saya sangat berharap dapat berniaga di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, isteri Ramlee yang turut membantunya berniaga, Hazami Ahmad Subki, 53, berkata, kedua-dua anaknya masih belajar dan pendapatan hasil jualan di kedai runcit itu hanya mencukupi untuk mereka sekeluarga.

“Kami tiada pendapatan lain, saya juga tidak bekerja dan sejak dahulu membantu suami di sini. Kedai ini banyak nostalgia kepada kami, benarkanlah kami berniaga di sini,” katanya.