Pengusaha spa dan salun Muslimah yang sudah lebih 30 tahun berniaga di situ, kini terpaksa menerima hakikat bahawa kemeriahan pusat niaga tersebut suram dan tidak lagi seperti dahulu.

ZANIFAH MANSOR
ZANIFAH MANSOR 

Zanifah berkata, pada masa ini hanya kira-kira 20 kedai sahaja beroperasi di kompleks tiga tingkat itu.

“Saya akui nak dapat seorang pelanggan sehari pun susah. Kadangkala dalam seminggu hanya seorang pelanggan sehinggakan pendapatan kami terjejas, namun terpaksalah bertahan juga.

“Malah, saya terpaksa berhentikan dua pekerja sejak setahun lalu kerana tidak mampu lagi me­ngupah mereka,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga, Norhayati Mohd. Nor, 66, pula berkata, hutang sewa kedainya kini sudah masuk berbulan-bulan tidak dilangsaikan kerana ketiadaan pelanggan.

“Kami cubalah bayar sikit-sikit jika ada duit lebih. Pihak pengurusan memahami ke­peritan kami, tetapi sampai bila keadaan ini perlu berlaku.

“Rasa rugilah apabila bangunan yang cantik dan di tengah-tengah bandar tidak menjadi tarikan,” katanya.

Norhayati berkata, pihak pe­ngurusan perlu melakukan sesuatu untuk menaikkan kembali kemeriahan tempat itu termasuk menarik peniaga lain membuka kedai di tingkat bawah yang menjadi pintu masuk Ukir Mall.

Dia berpendapat, faktor caj meletak kenderaan sebanyak RM2 yang dikenakan kepada pengunjung perlu dikaji semula kerana menyebabkan orang ramai enggan singgah ke kompleks perniagaan itu.

Sementara itu, pengusaha butik pengantin, Sharifah Puteh, 56, pula terpaksa membuka perniagaan lain di Pekan Rabu, sebuah pusat perniagaan tidak jauh dari situ bagi menampung sewa kedainya di Ukir Mall.

“Tempahan makin berkura­ngan, tetapi sewa kedai terpaksa juga dibayar. Walau bagaimanapun saya nekad menyewa kedai di Pekan Rabu kerana tidak mahu mengorbankan perniagaan di sini yang telah lama dibuka.

“Sekarang ini apabila ada pelanggan mahu menempah pakaian, baharulah saya ke sini (Ukir Mall). Jika tidak, memang saya berada di Pekan Rabu,” katanya.