Dalam majlis itu, MAIDAM mengagihkan kutipan zakat berjumlah RM45,000 yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan MAIDAM cawangan Kemaman, Mohd. Andri Abu Bakar.

Manakala RM10,000 lagi diagihkan kepada para pelajar oleh BIMB menerusi Pengurus Perbankan Pengguna Kawasan Terengganu, Zameran Jusoh.

Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad dalam ucapannya berkata, kolej berkenaan amat berharap agar banyak peluang kerjasama dapat dijalinkan antara kedua-dua pihak bagi merancakkan aktiviti pelajar TATIUC.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Madya Dr. Rosliza Ramli dan Pemangku Pendaftar, Dr. Siti Ilyani Rani.

Sementara itu, Pengurus Perbankan Pengguna BIMB Kawasan Terengganu, Zameran Jusoh berkata, BIMB memperuntukan bayaran zakat sebanyak RM1.25 juta kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Sepanjang tahun 2018 sahaja, jelasnya, BIMB menyumbang peruntukan RM170,000 kepada IPT di Terengganu antaranya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), TATIUC, Institut Al-Quran, Politeknik Dungun dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

"Begitu juga Sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu, University College Bestari (UCB) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan setiap IPT menerima antara RM5,000 hingga RM100,000," ujarnya.

Wakil pelajar, Nik Fakhri Nik Daud yang merakamkan penghargaan kepada TATIUC, MAIDAM dan BIMB berkata, bantuan tersebut dapat membantu mereka berbelanja keperluan harian serta serba sedikit mengurangkan beban yang ditanggung mereka. - UTUSAN ONLINE