Ketua Ekspedisi, Raja Mohamad Amin Raja Azhar berkata, dokumentari pendek mengenai keindahan Gunung Fuji itu dihasilkan sebagai salah satu projek akhir kursus mereka.

"Misi ini saya sendiri selaku ketua dan pengarah dokumentari. Ekspedisi ini sepatutnya dilakukan pada 4 September lalu, namun terpaksa di tangguhkan berikutan taufan Jebi yang melanda Osaka.

”Cuaca hanya baik beberapa hari selepas itu, namun kami perlu melakukan beberapa persiapan mental dan fizikal kerana bimbang cuaca akan kembali buruk. Oleh itu, ekspedisi berjaya dijalankan pada 16 September lalu dan ia satu kebanggaan buat kami kerana dapat naik pada tarikh sambutan Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Raja Mohamad Amin yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Filem dan Televisyen berkata, pendakian sangat mencabar kerana angin bertiup lebih kencang daripada biasa berikutan taufan Jebi baru lepas melanda.

Beliau berkata, semua peserta berhadapan dengan cuaca sejuk ekstrem yang mana suhu turun naik dengan mendadak antara 15 hingga -5 darjah Celcius di puncak menyebabkan pergerakan menjadi perlahan.

Dalam pada itu, beliau mengakui dirinya dan pasukan berasa amat berbangga kerana berjaya menawan Gunung Fuji yang menjadi antara gunung paling terkenal di dunia.

Lebih membanggakan, ujarnya, mereka dapat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Universiti Lim Kok Wing di puncak gunung tersebut dan pastinya ia satu kenangan indah. - UTUSAN ONLINE