Program anjuran Sektor Konsultansi dan Pengantarabangsaan serta Sektor Kecemerlangan Pelajar IPG Kampus Sultan Mizan dengan kerjasama Yayasan Guru Tun Hussien Onn (YGTHO) itu bertujuan memberi peluang kepada guru pelatih melihat perbezaan budaya di kalangan peserta pelbagai IPTA.

IPTA yang menyertai program tiga hari itu ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Penyelaras 1 program, Dr. Ahamad Rahim berkata, ia juga memberi peluang kepada peserta mengetahui tentang kepelbagaian budaya dan meningkatkan kebolehan kepimpinan selain membina hubungan dengan peserta terlibat.

Di samping itu, katanya, usaha tersebut bertujuan membudayakan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara bagi meningkatkan tahap profesionalisme keguruan selain memperkenalkan IPGM dan IPG Kampus Sultan Mizan ke peringkat global.

Sepanjang tempoh program, peserta yang terdiri daripada pelajar dari Nigeria, Pakistan, Ethiopia, Sudan, Indonesia, Bangladesh, Jordan, Yemen dan Syria akan didedahkan kepada bengkel gamelan, dikir barat, sukan rakyat, kraf seni ukiran, forum dan persembahan kebudayaan mengikut negara. - UTUSAN ONLINE