Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara berkenaan terbukti dengan hanya terdapat 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST berbanding 17,574 restoran yang berdaftar di bawah GST sebelum ini.

“Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘buat-buat tidak tahu’ bahawa cukai perkhidmatan enam peratus memang dikenakan di bawah SST sama seperti GST. Beliau terus merungut bahawa terpaksa membayar cukai perkhidmatan enam peratus untuk minuman dan makanan di restoran dan kedai kopi sungguhpun beliau bukan seorang pengilang.

“Datuk Seri Najib tidak harus berpura-pura tidak tahu akan perkara ini kerana beliau menjadi Menteri Kewangan sejak 2008, sebelum pelaksanaan GST pada 1 April 2015, di mana SST enam peratus juga dikenakan sebagai cukai perkhidmatan untuk kedai kopi dan restoran. 

“Perbezaannya ialah di bawah pelaksanaan SST, cuma restoran-restoran yang mempunyai pendapatan yang melebihi nilai ambang RM1.5 juta setahun sahaja yang dikenakan cukai perkhidmatan (SST) enam peratus kepada pengguna. Nilai ambang ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding GST,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan terbaru Guan Eng berkenaan adalah rentetan siri perbalahan antara beliau dengan Najib yang berdebat mengenai perbezaan antara GST dengan SST.

Kedua-dua individu saling berbalas sindiran mengenai perkara berkenaan dengan Najib antaranya mempersoalkan mengapa kuih pau di sebuah restoran dikenakan cukai SST sama dengan enam peratus cukai GST sebelum ini berikutan beliau adalah penguna dan bukannya pengilang. - UTUSAN ONLINE