Menurut jurucakap kumpulan itu, Affendi Jeman, pihak mereka terdiri daripada 31 bahagian mewakili kesemua parlimen di Sarawak sehingga semalam telah berjaya mengumpul 19,868 borang keahlian yang telah diisi oleh mereka yang berminat.

Katanya, meskipun penyertaan kami untuk menjadi ahli belum diproses namun semangat ditunjukkan ketika ini memperlihatkan mereka mahu bersama-sama Bersatu.

“Justeru itu, kita mohon kepimpinan Bersatu untuk mempertimbangkan hasrat ini dan jangan menghampakan permintaan rakyat di negeri ini.

“Kami tegas mahu bersama Bersatu dan yakin majoriti rakyat Sarawak berpendirian sama malah bekas Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr. Tiki Lafe,” katanya ketika sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Tambahnya, pihaknya berhasrat untuk berjumpa Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam masa terdekat untuk menzahirkan hasrat kita melebarkan parti itu di sini dan mencadangkan agar melancarkan Bersatu Sarawak hujung tahun ini.

“Kami yakin dan percaya selepas pelancaran Bersatu Sarawak dan sebelum tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan, Bersatu akan mempunyai jumlah keahlian paling tinggi dengan sasaran 200,000 orang,” jelasnya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai sebuah lagi kumpulan yang diterajui Johan Mohamad dan Sharif Busrah yang turut berhasrat menubuhkan Bersatu Sarawak, dia hanya menguruskan mengenai kumpulan mereka sahaja. -UTUSAN ONLINE