Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penubuhan KHUAM adalah langkah awal yang dapat memberikan impak dan manfaat kepada perkembangan pendidikan yang dise­dia­­kan hospital pengajar universiti termasuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang perubatan.

Menurutnya, lima hospital terbabit ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM); Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM); Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) dan Hospital Pengajar Universiti Teknologi Mara (HPUiTM).

“Lima hospital itu akan be­kerjasama dalam melaksanakan prinsip kesepunyaan dan kesera­kanan. Penubuhan konsortium ini akan menjadi platform di peringkat nasional bagi menyelaras secara bersepadu dan bersifat lebih agresif dalam menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

“Konsortium ini juga akan menjenamakan semula hospital pe­ngajar universiti dan dapat memberi manfaat dalam pene­rokaan baharu seperti pelancongan kesihatan, pemasaran dan galakan bagi persekitaran hidup sihat, pengurusan kos dan perkongsian sumber,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu Idris menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) sebagai persetujuan oleh PPUM, PPUKM, HUSM, PPUAIM dan HPUiTM menyertai KHUAM.

Kata Idris, sebagai tanda sokongan, kerjasama strategik itu turut dilebarkan jaringannya kepada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Enam universiti awam itu menawarkan program perubatan namun, belum mempunyai hospital pengajar universiti. Hari ini mereka menandata­ngani akujanji untuk bekerjasama de­ngan konsortium yang ditubuhkan bagi memperkasakan lagi bidang pendidikan perubatan di negara ini,” ujarnya.