Ekoran itu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat berusaha untuk membawa mereka pulang.

Kesemua lima keluarga yang terdiri daripada 11 individu iaitu enam dewasa dan lima kana-kanak itu sedang dikenal pasti oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman untuk diselamatkan.

AYOB KHAN
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Ketua Penolong Pengarah E8 Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka dikatakan telah menghubungi keluarga masing-masing di negara ini dan perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak polis.

"Bagaimanapun proses tersebut memerlukan masa yang panjang memandangkan kelima-lima keluarga terlibat tidak berada di kawasan yang sama.

"Ini kerana, ada di antara mereka telah ditahan pihak berkuasa di negara terlibat dan juga menjadi tahanan kumpulan militan di sana. Jadi, kita perlu melakukan rundingan dengan pihak tersebut untuk membawa mereka pulang," katanya ketika ditemu ramah dalam program Soal Jawab di TV3 di sini malam tadi.

Pada 25 Oktober lalu, akhbar melaporkan seorang wanita bersama dua anaknya terperangkap selepas kematian suaminya yang menyertai militan Daesh di Syria berjaya diselamatkan PDRM pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi menyelamat itu dilakukan dengan kerjasama Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, National Intelligence Organisation (MIT) dan Kedutaan Malaysia di Turki.

Dalam operasi terbabit, wanita bersama dua anaknya berusia lima dan dua tahun itu menyatakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga selepas kehilangan suaminya yang pergi berperang pada 9 Februari lalu.- UTUSAN ONLINE